diambil hanya untuk berkongsi pengetahuan bersama-sama.. Selangor Oh Selangor III: Arak, zakat dan Ronnie Liu | | | |
Thursday, 06 August 2009 07:51am | |
©Utusan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran) SYABAS Dr. Hassan Ali. Setelah sekian lama menyepi, tak kisah, buat- buat tak nampak, akhirnya Dr. Hassan, bekas pakar motivasi RTM, mula bersuara. Selama ini, mungkin beliau 'mahu menjaga hati' rakan-rakan DAPnya. Yang menyedihkan, demo pegang lilin itu berlaku hanya kira-kira 200 meter dari masjid besar berwarna biru yang menjadi mercu tanda kesucian Islam warga Shah Alam. Ikut pandangan ulama (bukan Nik Aziz), demo pegang lilin untuk memperingati orang mati itu adalah haram. Tapi kini ia berlaku di bandar raya kemegahan (satu masa dulu) orang Melayu. Di situlah terletaknya institusi ulung orang Melayu iaitu, UiTM - yang pernah disyorkan oleh kerajaan pakatan semasa mula memerintah Selangor, supaya dibuka kepada semua. Nampaknya orang Shah Alam yang dulu begitu ghairah memberi undi kepada DAP, PKR dan Pas kini terpinga-pinga. Apa sudah jadi? Penjual arak kini dibela oleh pemimpin DAP Ronnie Liu untuk diniagakan di sebuah kedai di Jalan Liku, Seksyen 8 Shah Alam. Menurut laporan akhbar semalam, Ronnie sendiri mengakui menggunakan kuasanya sebagai Exco Kerajaan Negeri mengarahkan arak yang dirampas oleh penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dipulangkan kembali ke kedai tersebut. Wahai Ronnie cuba lihat di sekeliling seksyen 8 itu siapa yang menghuni di situ? Saya sendiri ialah warga Shah Alam yang telah tinggal dan belajar di situ sejak 25 tahun lalu. Saya lebih tahu siapa yang paling banyak menghuni di situ. Kira-kira 97 peratus ialah orang-orang Melayu - yang pada pilihan raya umum lalu memberi undi kepada pakatan saudara. Semua mereka adalah orang Melayu. Jika di Malaysia orang Melayu ialah orang Islam dan orang Islam tidak minum arak kerana arak itu adalah haram seharam-haramnya macam makan babi juga. Apakah Ronnie yang hidup di Malaysia ini tidak faham? Saya tidak pasti di mana Ronnie atau anggota Exco DAP lain yang kini berada di Shah Alam tinggal sebelum pilihan raya dulu? Apakah mereka ini hidup dikelilingi orang-orang Melayu? Atau hanya dikelilingi oleh bangsa mereka sahaja? Jika saudara hidup dengan orang Melayu, bersekolah Melayu mestilah saudara faham adat resam orang Melayu dan umat Islam. Saya sedih (dan marah) kerana saudara Ronnie tidak sensitif langsung dengan isu orang Melayu dan umat Islam. Ronnie juga tidak sensitif apabila 'turut campur tangan' dalam operasi arak dan maksiat oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah premis di Bandar Sunway beberapa hari lalu. Kenyataan itu bukan dibuat oleh saya (yang terdedahkan dengan saman), tapi oleh Dr. Hassan sendiri. Mungkin kerana sudah 'tidak tertahan' Dr. Hassan mendesak Menteri Besar menarik balik portfolio Ronnie sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan. Ronnie dikatakan sering saja campur tangan dalam tugas PBT hingga menyukarkan penguatkuasaan dijalankan. Tahniah sekali lagi Dr. Hassan. Saudara sudah mula bersuara. Sebagai seorang bapa, saya tidak mahu anak remaja saya didedahkan dengan minuman arak atau mendekatinya. Saya juga tidak mahu anak saya terikut-ikut dengan budaya Kristian memegang lilin apabila ada kematian kelak. Saya tidak kisahlah jika ada orang Melayu lain yang mengikuti fahaman pakatan, tapi saya tidak sangggup melihat Ronnie atau sesiapa pun terus mencemarkan kesucian agama Islam yang saya anuti selama ini. Selepas isu 'underworld' yang dikaitkan dengan kongsi gelap, isu Teoh Beng Hock, satu demi satu isu berat terus berlaku di Selangor. Isu wang zakat yang mahu dikongsikan untuk semua juga timbul dalam masa-masa kekelutan di Selangor sekarang. Apakah orang Islam Selangor setuju supaya wang zakat (yang kita potong dari kantung gaji kita tiap-tiap bulan itu) dikongsi bersama-sama? Jika bersetuju saya tidak tahulah. Mungkin puak-puak pakatan bersetuju, saya juga tidak tahulah. Wahai Menteri Besar Selangor yang bijaksana, di mana pertimbangan saudara? Saya hanya mahu wang zakat saya disalurkan kepada lapan asnaf yang telah ditetapkan oleh Islam. Saya tidak tahulah jika wang zakat tuan Menteri Besar mahu diagih-agih kepada semua? Jika Selangor sudah tidak cukup peruntukan seperti yang disebut iaitu kira-kira RM300 hingga RM500 juta setahun carilah dari punca yang lain. Saya syorkan pungutlah dari punca-punca perjudian, rumah-rumah urut, spa, rumah persundalan yang - menurut ketua pembangkang kena gantung Dr. Khir Toyo - tumbuh bercambah-cambah bagai cendawan di Selangor sekarang. Ia boleh ditukar menjadi 'sin taxes' (cukai dosa) daripada aktiviti-aktiviti seperti itu. Mengapa singkatnya akal mahu mengambilnya dari wang zakat. Orang Melayu di Selangor kan banyak yang miskin. Satu lagi syor saya ialah majukanlah Selangor ini seperti yang telah dilakukan oleh menteri-menteri besar yang terdahulu. Apakah baru setahun memerintah, sudah beralah sehinggakan wang zakat pun mahu diambil? Dengar kata saudara ialah bekas CEO yang hebat dulu? Apa akhirnya akan berlaku kepada negeri yang paling maju di Malaysia ini hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Dan bagi Shah Alam ia sebenarnya sudah mulai dirobek sedikit demi sedikit. Sebagai warganya, saya sudah mula menghidu baunya dan unsur-unsurnya pun sudah kelihatan. Namun yang sedihnya warga Melayu di dalamnya masih belum sedar. (Disalin daripada The Malaysia Bar, entry yang original http://www.malaysianbar.org.my/berita/komen_undang_undang/selangor_oh_selangor_iii_arak_zakat_dan_ronnie_liu.html) |
No comments:
Post a Comment
Terima Kaseh daun keladi.. rajen nanti komen lagi ;)